nuffnang ads

Monday, February 28, 2011

CERITA IKTIBAR: KELDAI MENANGKAP PENCURI [PART 3]

    Pada malam berikutnya, pencuri itu pun pergilah ke gedung tempat penyimpanan harta kerajaan negeri. Dia menaiki sebuah kereta kuda. Apabila tiba berhampiran dengan gedung itu, dia lalu menyembunyikan kereta kudanya.
    Gedung itu dikawal oleh beberapa orang pengawal. Pencuri itu lalu menyamar sebagai seorang pengemis.
    " Di sini adalah tempat larangan. Tiada sesiapa pun yang dibenarkan menghampiri tempat ini. Sesiapa sahaja yang cuba menghampiri tempat ini akan dibunuh." kata salah seorang pengawal gedung itu.
    " Ah, maafkan saya!" pencuri itu berpura-pura, " Saya hanyalah seorang pengemis yang sangat miskin."
    " Pergilah ke istana raja. Baginda selalu memberikan sedekah kepada para fakir miskin," kata seorang pengawal yang lain.
    " Baiklah kalau begitu." kata pencuri itu pula. Ia berpura-pura hendak pergi. Tetapi sebelum dia melangkah pergi, dia mengeluarkan sebuah botol yang kecil daripada guni yang dibawanya.
    " Mahukah kamu semua membeli minyak wangi ini?" pencuri itu bertanya kepada para pengawal itu.
    " Tidak, kami tidak mahu!" jawab mereka.
    " Oh, jangan begitu! pencuri itu memujuk, " Minyak ini sungguh wangi. Harganya pun murah sahaja."
    " Tidak, kami tidak mahu!" kata mereka lagi.
    " Kalau kamu tidak mahu membelinya tidak mengapa. Tetapi cubalah dulu cium minyak wangi ini. Baunya sungguh wangi. Kamu tentu belum pernah menemui minyak wangi seumpama ini," pencuri itu cuba memujuk lagi.
    Para pengawal itu pun berebut-rebut mencium minyak wangi itu. Tidak lama selepas itu, para pengawal itu pun tertidur. Masing-masing tertidur dengan nyenyaknya. Minyak wangi tersebut adalah sejenis bau-bauan yang boleh menyebabkan sesiapa yang menghidunyaakan tertidur nyenyak. Pencuri itu gembira melihat keadaan para pengawal itu.
    Tanpa membuang masa lagi, pencuri itu pun segera memunggah harta kerajaan negeri ke dalam kereta kudanya. Banyak harta kekayaan yang sempat diambilnya. Setelah penuh harta kekayaan itu di dalam kereta kudanya, pencuri itu pun segera meninggalkan tempat tersebut.
    " Harta kerejaan ini sungguh banyak. Kalau aku memunggahnya selama beberapa tahun pun masih belum habis. Tetapi aku tidak boleh terlalu tamak. Harta yang sempat aku curi itu pun sudah mencukupiuntuk kegunaanku sepanjang hayat," kata pencuri itu dalam hatinya. Dia benar-benar gembira kerana berjaya mencuri harta kekayaan tersebut.
    Keesokan harinya, hebohlah di dalam negeri itu kerana mendapati harta kerajaan negeri sudah dicuri orang. Raja negeri itu berasa sangat dukacita dengan peristiwa tersebut.
    " Beta bukanlah berasa sedih kerana sedikit daripada harta kerajaan sudah hilang. Apa yang beta sedihkan ialah ada daripada kalangan rakyat beta yang sanggup menjadi pencuri. Beta tidak mahu seorang pun daripada rakyat beta menjadi pencuri," kata baginda.
     " Sekiranya pencuri itu dapat ditanggap, beta akan memenggal lehernya, supaya menjadi tauladan agar selepas ini tidak ada seorang pun rakyat di negeri beta ini sanggup menjadi pencuri," tegas baginda lagi.
    Baginda lalu menyuruh beberapa orang pembesarnya menyiasat tentang kejadian tersebut.
    " Patik fikir tentulah Nizamuddin itu sendiri yang menjadi pencuri tersebut," kata salah seorang pembesar yang jahat itu kepada baginda raja.
    " Mengapakah kamu menuduh Nizamuddin?" tanya baginda
    " Patik ada beberapa alasan," jawab pembesar itu.
    " Apakah alasan kamu?" baginda bertanya lagi.

BERSAMBUNG.............

Saturday, February 26, 2011

CERITA IKTIBAR: KELDAI MENANGKAP PENCURI [PART 2]

    " Baiklah, aku akan datang semula beberapa hari lagi," kata pembesar itu.
    " Aku akan memberikan upah yang lumayan kepada kamu," kata pembesar itu lagi. Kemudian dia memberikan amaran , " Ingat! Jikalau kamu membocorkan rahsia ini, aku akan penggal leher kamu."
    " Saya berjanji tidak akan membocorkan rahsia ini tuan," tukang kunci itu berjanji. Dia dalam keadaan ketakutan melihat wajah pembesar yang bengis itu. Selepas itu, pembesar tersebut beredarlah daripada tempat itu.
    Beberapa hari kemudian, pembesar itu datang semula ke tempat tukang kunci itu.
    " Sudahkah kamu menyiapkan anak kunci itu?" pembesar itu bertanya.
    " Sudah tuan," jawab tukang kunci itu. Dia sangat ketakutan. Dia bimbang kalau-kalau pembesar itu membunuhnya untuk menutup rahsia tersebut.
     " Bagus," ujar pembesar itu. Dia tersenyum kerana berpuas hati.
    " Apakah anak kunci ini benar-benar dapat membuka gedung harta kerajaan negeri ini?" pembesar itu bertanya semula.
    " Ya," jawab tukang kunci," Sebab dahulu sayalah juga yang membuat kunci bagi gedung tersebut."
    " Bagus!" pembesar itu memuji sambil tertawa. Tukang kunci itu terdiam sahaja. Dia masih ketakutan.
    " Jangan bimbang, aku tidak akan membunuh kamu," kata pembesar itu lagi. Kemudian dia memberikan upah yang sangat lumayan kepada tukang kunci tersebut.
    " Ingat, jangan sesekali membocorkan rahsia ini," pembesar itu memberikan amaaran sekali lagi. Kemudian dia terus meninggalkan tempat itu.
    Pembesar itu lalu pergi menemui beberapa orang kawannya dahulu. Dia menunjukkan anak kunci itu kepada mereka. Mereka ketawa kerana gembira.
    " Sekali ini, matilah Nizamuddin itu dibunuh oleh raja," kata salah seorang daripada mereka. Mereka tertawa dengan kuatnya.
    "Besok aku akan pergi mencari seorang pencuri yang paling pintar di negeri ini," kata pembesar yang memiliki kunci itu.
    "Bolehkah kamu mencari pencuri yang paling pintar itu?" tanya salah seorang daripada mereka.
    " Ya, aku amat mengenalinya," jawab pembesar itu pula.
Selepas itu mereka pun pulang ke rumah masing-masing.
    Keesokan harinya, pembesaritu pun pergi mencari pencuri yang paling pintar di negeri itu.
    " Aku mahu kamu mencuri harta kekayaan yang tersimpan di dalam gedung harta kerajaan di negeri ini," pembesar itu memberitahu kepada pencuri tersebut.
    Akan tetapi pencuri itu enggan. "Saya berani mencuri di man-mana sahaja. Tetapi saya tidak berani mencuri harta kerajaan negeri yang tersimpan di dalam gedung itu," kata pencuri itu.
     " Kalau kamu enggan berbuat demikian, aku akan membunuh kamu sekarang!" pembesar itu mengugut pencuri itu.
    " Tetapi gedung itu tidak dapat dimasuki oleh sesiapa pun. Hanya ada sebatang anak kunci sahaja yang boleh membuka pintu gedung itu. Anak kunci itu hanya ada di tangan Nizamuddin," jelas pencuri itu.
    Pembesar itu tertawa besar.
    " Mengapa tuan tertawa?" pencuri itu kehairanan dengan tindakan pembesar itu.
    " Jangan bimbang," kata pembesar itu. "Sebenarnya aku ada memiliki sebatang anak kunci yang boleh membuka pintu gedung itu," Dengan demikian, terpaksalah pencuri itu patuh kepada perintah pembesar tersebut. Dia takut dia akan dibunuh oleh pembesar itu.
    Sebelum meninggalkan tempat itu, sekali lagi pembesar itu memberikan amaran kepada pencuri tersebut." Ingat! kalau rahsia ini dibocorkan kepada orang lain, aku akan membunuh kamu!"
    Dia pun segera beredar dari situ.

BERSAMBUNG........... 

CERITA IKTIBAR: KELDAI MENANGKAP PENCURI [PART 1]

    Ada sebuah negeri yang sangat makmur. Rajanya adalah seorang pemerintah yang bijaksana dan adil. Baginda amat disayangi oleh rakyat jelata. Para pembesar baginda juga terdiri daripada golongan yang bijaksana. Negeri baginda aman dan makmur kerana rakyatnya rajin bekerja dan hidup bersatu padu.
    Kerajaan baginda memiliki harta perbendaharaan yang sangat banyak. Wang, emas, permata dan benda-benda lain yang berharga tidak terhintung banyaknya. Baginda melantik seorang pembesar yang sangat jujur untuk menjaga harta kerajaan. Nama pembesar itu ialah Nizamuddin. Baginda sangat mempercayai dan menyayanginya.
    Namun demikian, terdapat juga beberapa orang pembesar negeri yang berasa iri hati terhadap Nizamuddin. Mereka pernah melakukab beberapa helah supaya Nizamuddin dibenci atau ditangkap oleh baginda raja, tetapi tidak pernah berjaya.
    Raja di negeri itu mempunyai seorang puteri yang sangat jelita dan bijaksana. Beberapa orang pembesar yang dengkikan Nizamuddin itu sebenarnya bimbang kalau-kalau baginda akan mengahwinkan Nizamuddin dengan puteri baginda. Kelak kalau baginda sudah mangkat, salah seorang daripada mereka akan dapat menjadi raja di negeri itu.
    "Kita mesti mencari helah supaya Nizamuddin dibunuh oleh raja," kata salah seorang daripada pembesar yang berhati jahat itu.
    "Sudah berbagai-bagai cara kita lakukan. Tetapi tidak juga berjaya," kata salah seorang lagi pembesar tersebut.
    "Lebih baik kalau kita upah seseorang supaya mencuri harta kekayaan negeri ini," salah seorang yang lain lagi mencadangkan rancangan jahatnya.
    "Ya, benar sekali!" salah seorang daripada mereka bersetuju dengan cadangan tersebut
    " Dengan demikian baginda tentu akan menuduh Nizamuddin yang mencuri harta kekayaan itu sebab dialah yang memiliki anak kunci tempat menyimpan harta kekayaan tersebut," tambah pembesar yang memberikan cadangan tadi.
    " Tetapi bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan anak kunci tersebut?" tanya salah seorang daripada mereka, "Kunci itu hanya ada ditangan Nizamuddin."
    "Itu senang sahaja!"
    "Bagaimanakah caranya?"
    "Kita boleh mengupah seorang tukang kunci yang paling pandai untuk membuat sebuah anak kunci yang boleh membuka tempat itu."
    " Ya, benar sekali! Itu adalah suatu cadangan yang sangat bagus," semua bersetuju dengan cadangan tersebut.
    Salah seorang daripada mereka lalu pergi menemui tukang kunci yang sangat terkenal di negeri itu.
    " Aku mahu engkau membuat sebatang anak kunci yang boleh membuka pintu gedung harta kerajaan negeri ini," kata pembesar itu kepada tukang kunci tersebut.
    Pada mulanya, tukang kunci itu enggan melakukan pekerjaan kotor itu. Tetapi setelah diugut dan dipaksa oleh pembesar tersebut, maka tukang kunci itu terpaksalah patuh kepada perintah pembesar itu.
    "Saya memerlukan masa selama beberapa hari untuk menyiapkan anak kunci tersebut," ujar tukang kunci.


BERSAMBUNG..............

FREE FANTASTIC WALLPAPER FOR YOUR COMPUTER


















































































































































nuffnang

awak sangat cute

heartbeat.my