nuffnang ads

Friday, March 4, 2011

CERITA IKTIBAR: KELDAI MENANGKAP PENCURI [PART 4]

    " Pertama, anak kunci digedung itu hanya berada di tangan Nizamuddin. Kedua, tidak mustahil Nizamuddin sendiri yang menyamar sebagai pengemis itu untuk mencuri harta tersebut," kata pembesar itu lagi.
    Beberapa orang pembesar lain lagi turut dengkikan Nizamuddin berpura-pura bersetuju dengan alasan tersebut. Baginda raja terpengaruh dengan kata-kata para pembesar yang jahat itu. Akhirnya baginda memerintahkan beberapa orang pengawal supaya pergi menangkap Nizamuddin.
    " Patik tidak bersalah, wahai tuanku!" kata Nizamuddin, " Sudah bertahun-tahun patik menjaga harta itu dengan baik. Ini semua adalah fitnah, wahai tuanku!"
     Tetapi baginda berkeras juga untuk menahan Nizamuddin. " Pencuri memang tidak akan mengaku kesalahannya!" tegas baginda. " Beta akan menyiasat perkara ini dengan saksama. Sekiranya kamu benar-benar tidak bersalah, maka beta akan membebaskan kamu."
    Nizamuddin dimasukkan ke dalam penjara. Gembiralah hati pembesar yang jahat itu kerana Nizamuddin telah berjaya diperangkap oleh mereka.
    " Tidak lama lagi, Nizamuddin tentu akan dibunuh!" kata salah seorang pembesar yang berhati busuk itu.
    " Kita boleh mengupah beberapa pengawal supaya berpura-pura mengenali Nizamuddin menyamar sebagai pengemis," ujar salah seorang daripada mereka.
    Puteri raja yang bernama Nur Fadzilah, turut bersedih setelah mengetahui Nizamuddin dipenjarakan. Dia benar-benar yakin bahawa Nizamuddin tidak bersalah. Dia tahu bahawa kejadian ini sengaja dilakukan oleh beberapa orang pembesar yang dengkikan Nizamuddin.
    Nur Fadzilah lalu menemuai ayahandanya.
    " Ayahanda!" kata Nur Fadzilah, " Anakanda yakin bahawa Nizamuddin itu tidak bersalah. Dia mungkin diperangkap dan difitnah oleh oleh beberapa orang pembesar yang iri hati terhadap dirinya. Lebih-lebih lagi kerana sebelum ini Nizamuddin sangat disayangi oleh ayahanda sendiri."
    Baginda raja termenung seketika setelah mendengarkan sembah anakandanya itu. Dia memang amat menyayangi Nizamuddin. Dia tahu Nizamuddin adalah seorang pemuda yang sangat jujur. Tetapi apa boleh buat kerana penyiasatan mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum Nizamuddin dapat dibebaskan sekiranya dia benar-benar tidak bersalah. Sebaliknya, jika dia didapati bersalah, maka dia akan dipenggal lehernya.
     " Berikanlah peluang kepada Nizamuddin untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah," kata Nur Fadzilah lagi.
    " Tetapi bagaimana caranya?" baginda raja bertanya.
    " Bebaskan dia Berikan tempoh kepadanya untuk mengemukakan bukti bahawa dia tidak bersalah," Nur Fadzilah memberikan cadangan.
    " Ayahanda boleh membebaskannya. Tetapi bagaimana kalau-kalau nanti dia mengambil kesempatan untuk melarikan dirinya?"
    " Tidak,. Anakanda yakin bahawa dia sekali-kali tidak akan melarikan dirinya. Lagi pun dia adalah seorang yang sangat jujur. Kalau dia melarikan dirinya, itulah bukti bahawa dia sebenarnya memang bersalah. Dengan demikian, ayahanda boleh menitahkan para pengawal supaya menangkapnya," kata Nur Fadzilah lagi.
    Baginda raja bersetuju dengan cadangan puterinya itu. " Anakanda memang seorang yang sangat pintar, " ujar baginda.
    Nizamuddin dibebaskan. Dia diberikan tempoh selama sebulan untuk mengemukakan bukti bahawa dirinya tidak bersalah.
     Selama dua minggu \, Nizamuddin asyik termenung di dalam rumahnya. Dia benar-benar berasa sedih. Dia tidak mempunyai jalan untuk membuktikan bahawa dia memang tidak bersalah. Masa terus berjalan. Akhirnya tinggallah masa selama satu hari sahaja lagi bagi Nizamuddin kerana esok dia harus mengadap raja semula.
    " Esok mungkin aku akan dihukum bunuh. Baiklah sepanjang hari ini aku mengambil masa untuk pergi bersiar-siar di salah sebuah desa dalam negeri ini," fikir Nizamuddin dalam hatinya. Dia benar-benar bersedih.
    Nizamuddin lalu pergi bersiar-siar di sebuah desa dalam negeri itu. Setelah penat berjalan, dia bertemu dengan seorang pemuda gembala. Dia mengucapkan salam dan pemuda itu membalas salamnya. Pemuda gembala itu mengenali dirinya.
    " Bagaimanakah kamu boleh mengenali diri saya?" Nizamuddin bertanya.
     Pemuda gembala itu tertawa kecil," Saya memang mengenali tuan sebab dahulu tuan pernah menjadi salah seorang pembesar dalam negeri ini. Sebaliknya, tuan tidak mengenali saya sebab saya adalah orang kecil yang tidak berpangkat."
    Nizamuddin menundukkan kepalanya kerana berasa malu mendengar kata-kata pemuda gembala itu.



BERSAMBUNG............

No comments:

Post a Comment

nuffnang

awak sangat cute

heartbeat.my